Wednesday 20 June 2012

Tips Untuk Memilih Kursus Yang Sesuai

MEMILIH kursus bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi satu keputusan paling penting yang anda perlu lakukan. Keputusan anda merangkumi kolej yang anda bakal pilih. Ia turut memberi kesan kepada bagaimana suasana dan proses pembelajaran anda, keputusan yang akan anda peroleh dan juga kerjaya anda pada masa depan.
Berikut adalah 10 tip bagi membantu anda membuat keputusan yang tepat.

KENALI DIRI ANDA
Tentukan kekuatan, kemahiran, minat dan personaliti anda. Anda pasti mahu memilih kursus yang membawa kepada kerjaya masa depan yang bersesuaian dengan sifat anda iaitu kebolehan, bakat, keperluan, nilai, minat dan gaya hidup yang anda impikan.

SENARAIKAN MISI PERIBADI

Senaraikan apa yang anda mahukan, apa yang anda mahu capai dan prinsip yang membimbing anda dalam hidup.



KENAL PASTI KEKUATAN ANDA

Lihat rekod sekolah anda. Kenal pasti mata pelajaran yang anda berjaya mencapai keputusan cemerlang dan sebaliknya. Ini akan menjadi penentu keputusan anda mengenai kebolehan semula jadi anda sama ada lebih cenderung kepada bidang seni, bahasa, mekanikal, matematik, berkenaan ruang atau bidang lain.


PERHATIKAN BAGAIMANA ANDA BERSOSIAL

Lihat cara anda memenuhkan masa terluang melalui hobi, aktiviti sosial mahupun peribadi. Dari situ, anda dapat menilai sendiri minat, kemampuan dan nilai murni yang ada dalam diri anda.


KUIZ PERSONALITI

Kajian baru-baru ini menunjukkan padanan yang tepat di antara personaliti dan jenis kursus yang dipilih memberi kesan terhadap kejayaan di kolej. Secara amnya, padanan baik yang diperoleh akan melahirkan pelajar berkualiti.

Mereka yang memilih bekerja di persekitaran yang sama dengan jenis personaliti mereka juga lebih cenderung berjaya dan mencapai kepuasan dalam kerjaya. Jalani kuiz, ujian atau inventori yang menentukan keperibadian anda.



MELAWAT PERSEKITARAN

Kaji mengenai persekitaran untuk setiap kursus yang menarik minat anda. Lawati jabatan yang menawarkan kursus itu. Adakah pelajar, pensyarah dan teknik pengajaran mampu menarik minat anda? Adakah mereka berkongsi minat, nilai, pengetahuan dan prospek yang sama dengan anda?


KONGSI PANDANGAN DENGAN SENIOR

Kongsi pandangan atau peroleh maklumat daripada pelajar senior yang telah mengambil mata pelajaran dan juga yang telah bekerja dalam profesion berkaitan dengan kursus yang anda minati. Kaji apa yang mereka suka? Adakah mereka serasi dengan anda? Apakah persekitaran kerja dan budaya kerja sebenar?


TEMUI DAN AMBIL PELUANG BERBUAL DENGAN KAUNSELOR

Satu idea yang baik jika anda dapat bercakap dengan Kaunselor Akademik di kolej pilihan anda mengenai kesesuaian kursus dan kecenderungan minat anda. Kemukakan soalan mengenai kursus yang bersesuaian dengan anda atau ujian personaliti yang kolej mungkin tawarkan.


PERTIMBANGKAN SEMUA ALTERNATIF ANDA

Dapatkan seberapa banyak maklumat yang anda boleh mengenai semua pilihan anda.
Sebaik sahaja anda telah menyenarai pendek pilihan anda, pertimbangkan semula setiap kebaikan dan keburukan yang terdapat pada semua senarai terkini anda itu.


BUAT KEPUTUSAN

Pertimbangkan senarai akhir anda dengan berhati-hati. Buat keputusan yang tepat dan ja-ngan memberi tekanan kepada diri anda dalam membuat pilihan kerana terpaksa mengambil kira pelbagai sudut misalnya kerana semua rakan anda me-ngambil kursus berkenaan.

Perbelanjaan akan meningkat kerana anda mengulangi semester, menukar kursus di pertengahan pengajian atau tidak lulus. Apatah lagi anda akan jauh ketinggalan beberapa tahun kebelakang dalam memperoleh pendapatan lumayan kerana lambat menamatkan pengajian.


Selepas tamat pengajian, kursus yang anda pilih menjejaskan kestabilan dan kepuasan dalam pekerjaan serta prospek kerjaya dan beberapa ganjaran lain.

Pilih dengan bijak dan anda berhak mencapai kepuasan dengan memperoleh ganjaran daripada dunia kolej dan kerjaya pilihan anda. 


                                                                                                                                Sumber: myMetro

No comments:

Post a Comment