Tuesday 3 July 2012

Wanita Profesional Sedikit

2012/07/03


Kekurangan satu kerugian bagi rantau Asia Pasifik

Bilangan wanita menjawat jawatan tinggi dalam syarikat di beberapa negara maju Asia terlalu sedikit, sekali gus mengecilkan kumpulan bakat memacu pertumbuhan ekonomi.

Firma perunding McKinsey & Company dalam kaji selidiknya mendapati secara purata wanita di Asia Pasifik hanya mewakili enam peratus dalam lembaga pengarah berbanding 17 peratus di Eropah dan 15 peratus di Amerika Syarikat (AS).

Kaji selidik membabitkan 744 syarikat dalam kalangan 10 pasaran saham utama itu juga mendapati wanita hanya lapan peratus dalam jawatankuasa eksekutif, berbanding 10 peratus di Eropah dan 14 peratus di AS.

Majoriti graduan wanita

“Ia adalah pembaziran bakat yang besar kerana separuh daripada graduan di Asia adalah wanita. Ini adalah kerugian, lebih-lebih lagi rantau ini kekurangan pengurus kanan,” menurut laporan bertajuk Women Matter.

Australia, Hong Kong dan China mempunyai paling ramai wanita dalam lembaga pengarah, masing-masing merangkumi 13, sembilan dan lapan peratus manakala Korea Selatan, Jepun dan India berada di tahap paling rendah.

Di Korea Selatan, yang kuat dengan budaya konservatif, wanita dibebani tugas berat di tempat kerja dan di rumah, hanya satu peratus wanita dalam lembaga pengarah.

Jepun pula kedua terendah dengan dua peratus, berikutan tekanan menjadi suri rumah menyebabkan 60 peratus wanita berhenti kerja selepas berkahwin.

Jumlah itu meningkat sedikit tinggi pada lima peratus di India.

Tekanan kerjaya dan kerja rumah menjadi sebab utama wanita di dalam kedua-dua kuasa ekonomi di Jepun dan India meninggalkan pekerjaan. Bagaimanapun, persepsi itu tidak memberi kesan ketara di Singapura dan China.

“Beban dua kali ganda ini menjejaskan wanita di Eropah.

“Tetapi ia tidak boleh disangkal bagi wanita Asia dan juga disumbang oleh kekurangan sokongan kerajaan dalam perkara seperti penjagaan kanak-kanak,” katanya.

Bagaimanapun, China lebih baik berbanding jiran lain di Asia tetapi situasi di ekonomi terbesar Asia itu jauh daripada memuaskan dan ia mempunyai kadar penyertaan buruh wanita paling besar di dunia, tambah laporan itu.

“Pasaran buruh dan persaingan sengit di seluruh Asia, perbezaan jantina perlu menjadi keutamaan korporat,” kata, pengarang laporan itu Claudia Sussmuth-Dyckerhoff. - AFP

Sumber:  Berita Harian 2012