Wednesday, 11 April 2012

Tips Kerjaya Untuk Anda

Tip Kerjaya: Pupuk sikap tegas dalam diri

Oleh Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
mohdyma@gmail.com
2012/03/29

KETIKA belajar di universiti adalah waktu yang sesuai untuk melatih dan memupuk diri anda menjadi individu yang tegas. Anda boleh bertegas dengan rakan jika dia tidak dapat menepati masa temu janji.

Misalnya, rakan anda ingin menumpang kenderaan anda ke kuliah. Jika gagal menepati masa yang dijanjikan, anda tinggalkan saja rakan itu dan pergilah ke kuliah. Dengan cara ini, rakan anda itu memahami dan mempelajari bahawa anda seorang yang tegas dalam menepati janji. Jika ingin menumpang pada masa lain, dia sudah faham akan ketegasan anda.

Dalam situasi lain, katakanlah anda mengetuai satu tugasan akademik dan telah membahagikan tugas dengan rakan kumpulan. Jika ada rakan yang tidak menjalankan tugasnya, maka laporkan kepada pensyarah dan gugurkan namanya daripada kumpulan itu. Bukan bertujuan menimbulkan konflik dengan rakan sebaliknya menunjukkan dalam setiap tugas atau kerja perlu ada ketegasan demi kebaikan kumpulan. Ketegasan anda membuat rakan kumpulan menghormati sikap positif anda itu.

Sikap tegas amat perlu apabila anda bekerja kelak. Sebagai eksekutif atau pegawai, anda harus bertegas dengan staf dalam urusan kerja. Jika tiada ketegasan, anda sebagai eksekutif atau pegawai kurang dihormati oleh mereka. Tambahan pula, anda adalah eksekutif atau pegawai yang baru bertugas. Ketegasan akan menyebabkan staf mengikut arahan kerja seterusnya menyiapkan kerja itu dan dalam masa yang sama menghormati anda.

Kebanyakan orang cenderung menunjukkan dan meluahkan perasaan dan kehendak mereka secara tidak langsung kerana bimbang staf berasa tersinggung dan mungkin akan menimbulkan konflik. Malah ramai menganggap sikap bertegas berkait dengan sikap suka mengarah.

Sikap tegas adalah satu kemampuan menjadi bijaksana dalam mencapai apa yang anda mahu. Ia berkaitan dengan cara untuk berhadapan dengan keadaan sukar tanpa mengecewakan orang lain.

Apabila ada sikap tegas, anda boleh berbincang mengenai perubahan organisasi secara munasabah dengan meluahkannya secara terus apa yang anda fikirkan atau mahukan. Melalui sikap ini anda boleh menyelesaikan masalah interpersonal seseorang dan meningkatkan kejujuran di tempat kerja anda.

Berikut adalah tanda yang menunjukkan sikap tegas anda di tempat kerja seperti dipetik dari New Straits Times (21 November 2008).

1. Memahami keperluan. Anda perlu tahu apa yang dikehendaki daripada seseorang staf. Anda perlu jelas, spesifik dan mudah apabila memohon bantuan atau mewakilkan kerja anda kepada staf.

2. Menggalakkan perbincangan. Anda harus menggalakkan staf berbincang dan menanyakan soalan dengan anda. Anda mesti bertegas dengan bertanyakan soalan kepada mereka. Sebagai contoh "Apakah soalan anda mengenai topik yang telah kita bincangkan tadi?" berbanding menanyakan soalan seperti ini, "Adakah anda mempunyai apa-apa soalan?"

3. Membantu menyelesai masalah. Apabila seseorang staf menjadi emosional, panggil dan bawa berbincang serta tanyakan apa yang sedang berlaku. Mungkin staf itu sedang tertekan akibat bebanan kerja atau mempunyai masalah peribadi. Cuba beri bantuan atau bimbingan kepadanya serta berikan masa untuknya menyuarakan atau membincangkan masalah yang dihadapi.

4. Mengkaji tanggungjawab staf. Jika ada staf menyoal anda dalam cara yang negatif, cuba bertenang dan hadapi ketidakpuasan hatinya dengan fikiran yang waras. Jika ada staf mengancam anda, bawalah berbincang dengan cara mengkaji semula tanggungjawab dan keutamaannya, seperti yang sepatutnya.

Bertegaslah dan bersikap terus terang, dan yang penting ialah anda mesti berfikiran logik. Jika staf itu berdegil dan tidak mahu untuk melaksanakan tugas seperti yang dipertanggungjawabkan, anda perlu dapatkan pembabitan pihak lain dengan mengenakan tindakan disiplin seperti yang diperuntukkan dalam polisi organisasi.

5. Memberi dorongan. Sebagai eksekutif atau pegawai, anda perlu kekalkan objektif dalam fikiran pada setiap masa dan tahu akan keutamaan anda sendiri. Ada kalanya anda perlu mendorong orang lain untuk mendapatkan yang terbaik daripada mereka. Anda perlu sentiasa bersedia memberi dorongan dan mencabar mereka. Menariknya, anda mungkin akan terkejut apabila mengetahui apa yang dikatakan itu telah mendorong dan memotivasikan staf untuk lebih maju.

6. Membina keyakinan diri. Anda harus memberi keyakinan kepada staf untuk meyakini diri mereka, sebagai tanda anda mempercayai mereka. Bantu mereka untuk membina keyakinan diri dan beri ganjaran atau ucapan tahniah sebagai tanda penghargaan kepada staf yang telah melaksanakan kerja yang baik dan berkualiti.

Bagaimanapun, anda boleh memutuskan cara atau alternatif yang bagaimana untuk menjadi seorang yang tegas di tempat kerja. Sehubungan itu, latihlah diri anda untuk menjadi individu yang tegas khususnya dengan rakan ketika sedang belajar di kampus.

Penulis ialah Profesor Madya dan Timbalan Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment