Thursday, 22 March 2012

Langkah Menuju Pilihan

Kanak-kanak sudah mula membina impian mereka mengenai impian dan cita-cita mereka. Sesetengahnya terpengaruh dengan model terdekat mereka seperti ingin menjadi seperti ibu atau bapanya atau mungkin juga idola mereka. Walaubagaimanapun secara perlahan-lahan apabila semakin meningkat dewasa, cita-cita mungkin berubah setelah mereka mula di dedahkan dengan pelbagai kerjaya yang ada dalam dunia pekerjaan masa kini. Sebahagiannya telah di pupuk minatnya, didik dan dibentuk oleh ibubapa untuk mendalami bidang-bidang tertentu manakala sebahagiannya pula di beri kebebasan menentukan pilihan kerjaya masing-masing. 

Semua orang menginginkan masa depan yang cerah, membina satu kehidupan yang bermakna bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada keluarga dan kita juga mungkin berimpian untuk menjadi orang yang signifikan dalam masyarakat dan juga negara. Sebelum impian boleh di capai, ada saatnya kita keliru dan seperti tercari-cari jalan mana yang sesuai, pilihan mana yang tepat untuk diri kita kerana kadangkala cita-cita kita jauh daripada pencapaian dan kemampuan kita. 

Jadi untuk mengelakkan kita di belenggu masalah yang tak sudah, sewajarnya kita mendapatkan pandangan daripada pakar yang boleh membimbing kita mencari arah yang betul. Kita perlu dapatkan maklumat mengenai minat, pencapaian, bakat dan segalanya tentang diri kita untuk mengetahui kemampuan dan keupayaan sebenar kita. Dengan ini, lebih memudahkan kita untuk membuat pilihan tepat pada masa akan datang. Kita juga perlu lebih realistik dalam menentukan masa depan kita supaya impian tidak tinggal impian. Walau apa pun pilihan kerjaya kita yang pasti setiap satunya ada sumbangan tertentu dalam masyarakat mahupun negara. Jadi kita perlu fokus kepada kelebihan kita, berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan pencapaian akademik dan kemahiran, mengumpul maklumat kerjaya masa kini, teroka potensi diri, membina alternatif dan buat pilihan yang tepat sesuai dengan diri kita.

Perjalanan hidup tidak lurus sepanjang masa dan sentiasa dapat apa yang diinginkan. Bagi mereka yang telah berjaya dalam kariernya, mungkin mereka telah melalui lebih awal beribu macam dugaan dan cabaran yang membolehkan mereka berdiri teguh pada hari ini. Disebabkan kita semua individu yang nyata berbeza sudah tentulah langkah, pilihannya dan dugaannya turut berbeza. Liku-liku perlu di lalui sebelum sampai ke destinasi sebenar, tetapi jangan pernah berputus asa, menyerah kalah, kecewa atau menyesal seandainya pilihan telah di buat. Teruskan mengorak langkah kerana siapa tahu semakin sukar perjalanan itu sebenarnya kita semakin hampir untuk mengapai kejayaan yang diimpikan. Ambil langkah pertama dan terus maju bergerak kehadapan. Yang pasti kejayaan kita bergantung pada diri sendiri, sesuai dengan usaha dan kesediaan kita untuk berkorban. Yang paling penting, jangan pernah sesekali melupakan Pencipta kita yang telah mengurniakan sejuta nikmat kepada hambaNya, yakin Dia sentiasa bersama kita dan berserah kepadaNya. Perlu di ingat sekiranya suatu hari nanti kita berjaya seperti yang diimpikan ianya adalah kerana Allah SWT mengizinkannya. Jadi dalam menjalani kehidupan kita, sentiasalah mengingatiNya dan bersyukur di atas segala nikmat kurniaanNya tak kira senang atau susah, sedih atau gembira, dan sakit atau sihat.

Bekerjalah dengan penuh amanah dan tanggungjawab!!

No comments:

Post a Comment